Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN pulihkan negara, tiada sokongan buta tuli terhadap kepimpinan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 JUL: Pakatan Harapan (PAKATAN) kini melakukan proses pemulihan dalam tadbir urus negara khususnya ekonomi diwarisi daripada Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum ke 14 (PRU14).

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amirudin Shari berkata, PAKATAN diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melaksanakan proses berkenaan kerana kedudukan kewangan negara yang parah dilakukan BN dalam tempoh puluhan tahun khususnya ketika pemerintahan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Apabila PAKATAN diangkat rakyat bagi mentadbir negara di Putrajaya, kita melakukan proses pemulihan dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan hutang negara lebih besar daripada apa kita jangkakan berbanding kira-kira RM800 bilion daripada pentadbiran Najib.

“Kebimbangan rakyat mengenainya ternyata benar dan itu kita sampaikan kepada rakyat kerana PAKATAN percaya rakyat harus bersama berkongsi mengenai keadaan dan kedudukan semasa negara,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Pilihanraya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis bagi membantu calon PAKATAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni di Taman Sri Andalas di sini, semalam.

Beliau berkata, kerosakan berlaku dalam pentadbiran negara tidak dinafikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang cuba mengheret kepimpinan Dr Mahathir dan mantan kepimpinan Umno, seolah-olah mereka bersama membawa kerosakan kepada negara.

Katanya, PAKATAN mentadbir negara secara telus dan penuh bertanggungjawab dengan semua pihak termasuk pemimpin dan rakyat boleh membuat teguran kepada Perdana Menteri dan kepimpinan sedia ada.

“Selepas PAKATAN menang, rakyat tidak akan dengar ucapan atau sokongan membuta tuli daripada pimpinan parti kepada Perdana Menteri dan pemimpin lain.

“Apa sahaja polisi kurang tepat, kita tegur dan nyatakan di mana ia mungkin boleh diubah serta dibetulkan,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Zawawi daripada PAKATAN dengan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon BEBAS, K Murthy, dengan proses pembuangan undi pada 4 Ogos ini.

Ia diadakan ekoran kematian penyandang, Shuhaimi Shafiei (PAKATAN), akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.