Categories
SELANGOR

Pemilihan KEADILAN, MB tidak rebut jawatan top 5

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari tidak akan bertanding merebut jawatan ‘top 5’ dalam Pemilihan KEADILAN yang akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, hal itu kerana beliau mahu memberikan penumpuan khusus tugas dan tanggungjawab sebagai orang nombor satu di Selangor.

“Ketika ini saya sebagai Timbalan Ketua Cabang Gombak, buat masa ini tiada perubahan.

“Untuk peringkat tertinggi, saya akan terbabit cuma belum memutuskan lagi apa jawatan untuk dipertandingkan.

“Saya mahu utamakan tugas-tugas di Selangor dan sebagai Dato’ Menteri Besar sudah pasti suara saya diperlukan namun saya tidak mahu bertanding bagi jawatan lima teratas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Menyantuni dan Menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat DUN Sungai Kandis.

Pada masa sama, Amirudin berkata KEADILAN sebagai parti yang mengamalkan demokrasi sentiasa meraikan pandangan dan perbezaan pendapat.

Biarpun cakap-cakap sesetengah pihak bahawa KEADILAN sentiasa bercanggah pendapat, namun katanya, parti itu sentiasa bekerja keras terutamanya apabila menghadapi Pilihanraya.

“Sesiapa ada hak bertanding. Saya tidak mahu komen berhubung isu pencalonan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Presiden.

“Ini kerana ia boleh menimbulkan spekulasi . Apa-apa pun, parti KEADILAN meraikan demokrasi sesiapa mahu bertanding, berapa penjuru pun tiada masalah,” katanya.