Categories
NASIONAL

Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan tawar hadiah lebih RM300,000

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 JUL: Jabatan Penerangan Malaysia menganjurkan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2018 dengan menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM300,000.

Pertandingan itu bertujuan memupuk semangat patriotik dan cintakan negara selain meningkatkan kesedaran serta penghayatan kemerdekaan sama ada secara individu mahupun organisasi melalui cetusan kreativiti dalam menyampaikan informasi kenegaraan.

Berdasarkan kenyataan, pertandingan yang bermula 1 hingga 31 Ogos ini, merupakan program tahunan sejak ia dilancarkan pada tahun 2010 dan diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia.

Ia memfokuskan untuk memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada rakyat melalui suasana keceriaan sambutan Bulan Kebangsaan dengan cetusan kreativiti kibaran Jalur Gemilang di kawasan kampung, bangunan dan premis masing-masing dalam usaha menggelorakan semangat patriotik secara holistik serta bersepadu.

Pertandingan itu membabitkan 10 kategori antaranya bangunan kerajaan; bangunan swasta; kampung; sekolah; taman perumahan, individu, pintu gerbang; anjung komuniti dan Institusi Pengajian Tinggi Awan serta swasta.

Manakala, penilaian pula meliputi tiga aspek utama seperti aspek kreativiti (keunikan kepelbagaian reka bentuk menggunakan bendera); aspek daya tarikan (kelainan yang ditonjolkan) dan aspek nilai tambah (pantun, slogan atau kata-kata patriotik).

Penyertaan terbuka kepada semua warganegara Malaysia menerusi borang penyertaan yang boleh didapati di semua Jabatan Penerangan Negeri atau muat turun di laman sesawang rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018 di malaysiamerdeka.my.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Urus Setia Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2018 JaPen di talian 0389117339 / 7327.