Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pertuduhan Najib jadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa

KUALA LUMPUR 4 JUL: Pengamal media tempatan dan antarabangsa mula berkumpul seawal jam 5 pagi bagi membuat liputan mengikuti prosiding pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Pekan, Pahang dijangka menghadapi lebih 10 pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International Sdn. Bhd. pagi ini.

Kenderaan membawa Najib Razak dilihat keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 7.37 pagi.

Kenderaan Proton Inspira berwarna merah membawa Najib itu diiringi beberapa kenderaan pengiring SPRM dan polis itu dikatakan menuju ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Najib akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah Dua yang bertempat di Aras 4, sayap kanan kompleks mahkamah itu.

Difahamkan kes berkenaan akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen paling kanan, Datuk Zainal Abidin Kamarudin dan kemudian akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi satu di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Peguam Negara yang baharu, Tommy Thomas akan mengetuai pihak pendakwaan dalam kes itu

Semalam, bekas Presiden UMNO itu, ditahan di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini kira-kira pukul 2.35 petang.

Bekas perdana menteri itu telah hadir ke Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua kali bagi merakamkan keterangan berhubung SRC International.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.