Categories
NASIONAL

Petugas media bengang penyokong Najib ganggu sidang media AG

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 JUL: Petugas media yang membuat liputan perbicaraan Datuk Seri Mohd Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam kesal dengan kekecohan ditimbulkan penyokong bekas Perdana Menteri itu sehingga mengganggu sidang media Peguam Negara.

Wartawan Malaysian Insight, Nabihah Hamid berkata, kejadian terbabit mengganggu tugas wakil media yang terpaksa berasak-asak sejak awal pagi bagi memberi liputan terbaik untuk masyarakat.

“Pandangan saya sebagai pengamal media, orang ramai tidak seharusnya mengganggu sidang media Peguam Negara kerana tidak jadi isu beliau mahu menggunakan Bahasa Inggeris memandangkan sidang media tersebut turut jadi tumpuan media asing.

“Lebih menyedihkan kekecohan tercetus di saat peguam negara belum lagi memulakan sidang media di mana ini sangat mengganggu kerja media yang daripada pagi komited untuk memberikan laporan. Kami tersepit, berjam menunggu sidang media,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Sementara itu, Wartawan Bernama, Ali Imran pula berkata kejadian semalam membuktikan orang awam tidak sepatutnya menyertai sidang media yang lazimnya dikhaskan untuk petugas media sahaja.

“Kejadian hari ini (semalam) membuktikan orang awam tidak layak dibenarkan masuk ke mana-mana sidang media.

“Kami menunggu lebih dua jam untuk sidang akhbar Peguam Negara, Tommy Thomas selepas sesi pendakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Daripada awal sudah dibisikkan kepada polis, ada orang awam yang menyelit di celah wartawan, kami takut keadaan jadi lain nanti tetapi polis pun tak ada kuasa nak halang orang awam berada di kawasan awam,” tulisnya di status media sosial facebook beliau.

Ali berkata, keadaan selepas itu menjadi semakin tidak terkawal apabila orang awam yang turut berada dalam kelompok petugas media mula melaungkan kata-kata provokasi.

Katanya, melihatkan keadaan yang semakin tegang menyebabkan Tommy mengambil keputusan membatalkan sidang media beliau.

Beliau turut kesal dengan gelagat penyokong Najib yang menggunakan alasan kebebasan bersuara apabila pihak polis mula bertindak mengawal keadaan.

“Kami yang wartawan ini kemudiannya yang susah sebab sidang media dibatalkan dan bila Peguam Negara nak buat sidang media selepas itu, tiada maklumat tepat lokasi sampai pindah empat kali,” katanya lagi.

Kejadian semalam turut mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk wartawan veteran, Mat Zahari Ali dan penyair terkenal, Pyan Habib Rahman.

“Itulah masalahnya bila hak wartawan dinodai oleh mereka yang taksub,” ulas Mat Zahari.

Sementara itu, Pyan Habib turut menyindir sikap tidak bertanggungjawab penyokong Najib yang kononnya memperjuangkan Bahasa Melayu meninggalkan sampah bertaburan di laluan masuk mahkamah.

“Selepas letih berjiihad, poster berbahasa Inggeris ditinggalkan bersepah oleh mereka yang memperjuang Bahasa Melayu,” sindir beliau pada status facebooknya.