Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Piala Sultan Selangor 25 Ogos, terima tajaan RM1.2 juta

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 2 JUL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima sumbangan tajaan Piala Sultan Selangor (TSSC) edisi ke-17 2018 berjumlah hampir RM1.2 juta.

Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang bersempena Majlis Minum Petang Piala Sultan Selangor 2018.

Kerajaan Negeri diketuai Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan syarikat-syarikat berkaitan Negeri Selangor (GLC) menyerahkan sumbangan bernilai RM689,000.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datin Padukan Dr Noraida Mohd Yusof merupakan penaja utama RM300,000.

Perbendaharaan Negeri Selangor yang diwakili Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Sri Ahmad Omar masing-masing menyerahkan sumbangan RM100,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria masing-masing turut hadir menyerahkan sumbangan RM50,000.

Penganjuran TSSC 2018 juga menerima tajaan sebuah kereta Honda City yang bakal menanti pemenang cabutan bertuah utama yang disumbangkan Pengarah Eksekutif Tanjung Balai, William Chew.

TSSC 2018 berlangsung pada 25 Ogos depan di Stadium Shah Alam dengan tiket perlawanan dijual pada harga RM10 menampilkan aksi pertembungan Pasukan Veteran Selangor dan Veteran Singapura pada jam 8.00 malam disusuli perlawanan Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura.

Piala ‘Singapore-Selangor Schools Challange Cup’ untuk murid-murid bawah 16 tahun akan turut dipertandingkan di Shah Alam selepas diperkenalkan di Singapura, tahun lepas.

Perlawanan itu dijadualkan bermula pada jam 5.30 petang dan bakal dirasmikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.