Categories
SELANGOR SUKANKINI

Pilihan Selangor laung keyakinan julang Piala Sultan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 3 JUL: Jurulatih skuad Pilihan Selangor, Datuk K Rajagobal optimis pasukannya mampu membawa pulang kembali Piala Sultan Selangor (TSSC) pada edisi ke-17 yang bakal berlangsung 25 Ogos ini.

Katanya, peluang beraksi di laman sendiri pastinya mahu digunakan sebaik mungkin kerana piala ini sudah menjadi tradisi sejak sekian lama antara Selangor dan Singapura.

“Fokus kita kalau boleh mahu melakukan terbaik untuk membawa pulang Piala Sultan Selangor kerana kita bermain di tempat sendiri.

“Diharap pemain boleh mempamerkan semangat juang kerana sudah menjadi tradisi untuk Selangor dengan Singapura dan pastinya kita mahukan kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan TSSC di Istana Alam Shah, Klang bersempena Majlis Minum Petang Piala Sultan Selangor 2018.

Katanya kemungkinan beberapa pemain daripada pasukan Selangor akan dipanggil untuk beraksi bersama pemain PKNS FC bagi memantapkan lagi skuad Pilihan Selangor.

“Kita mahu perkuatkan pasukan Pilihan Selangor dan akan memikirkan langkah sepatutnya kerana kita mahu turun dengan pasukan terbaik,” katanya.

Keyakinan sama turut dilaungkan Ketua Pasukan PKNS FC, Mohd Safee Mohd Sali yang berharap Pilihan Selangor dapat menjulang semua kejuaraan dalam edisi kali ini.

“Selepas kekalahan tipis 3-2 ekoran kesilapan sendiri tahun lepas, mungkin tahun ini kita tidak berdepan masalah untuk beraksi dengan mantap dan merampas kembali Piala Sultan Selangor.

“Kombinasi baik antara dua pasukan kerana kedua-dua pasukan mempunyai skuad mantap.

“Selangor sudah ke perlawanan akhir Shopee Piala FA sementara PKNS di tangga keenam Liga Super dan saya percaya kemampuan kita untuk meraih kejuaraan,” katanya.

=EZY=