Categories
PBT SELANGOR

PJ International Youth Leadership Camp galak kerjasama dua hala

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 JUL: Penganjuran PJ International Youth Leadership Camp (PJIYLC) yang dianjurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mampu menggalakkan kerjasama dua hala serta perkongsian amalan baik antara bandar-bandar antarabangsa.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, PJIYLC merupakan sebahagian daripada pelaksanaan program Friendship City yang diusahakan oleh MBPJ sejak tahun 2011.

Katanya, penganjuran program itu juga bertujuan membentuk dan mencungkil kemahiran kepimpinan dari kalangan peserta pelajar sekolah menengah dari dalam dan luar negara.

“Inisiatif ini bagi mendapatkan kerjasama dua hala serta perkongsian amalan baik antara bandar antarabangsa dalam pelbagai bidang antaranya seperti ekonomi dan perniagaan, kebudayaan, kesenian, pelancongan dan pendidikan.

“Setakat ini MBPJ sudah memeterai memorandum persefahaman dengan 5 buah bandar raya iaitu Bandar raya Miyoshi, (Jepun), Bandar raya Asan ( Korea Selatan), Bandar raya Seongbuk-gu, (Korea Selatan) Bandar raya Bandung (Indonesia) dan Bandar raya Qingyuan, (Republik Rakyat China).

“Program PJIYLC merupakan salah satu program dibawah bidang pendidikan dalam program Frendship City,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azizi berkata, PJIYLC juga merupakan program ‘pendidikan’ kedua yang dianjurkan oleh MBPJ, selepas kali pertama menganjurkan program seumpamanya pada 17-21 April 2017 iaitu SAEYLS@PJ (Seri Aman Environmental Youth Leadership Summit) 2017.

Katanya, menerusi PJIYLC, pelbagai aktiviti telah dirancang bagi memberi pengalaman dan pengetahuan berguna kepada peserta agar dapat membentuk generasi cemerlang dan mempunyai jati diri tinggi.

“MBPJ juga menghantar 10 Pelajar bersama dua orang pengiring untuk menyertai ‘’2nd International Student Exchange Camp” yang diadakan di Bandar raya Asan, Korea Selatan.

“Antara aktiviti diadakan adalah explore race (jelajah bandar Petaling Jaya menggunakan perkhidmatan awam), larian malam, bengkel kepimpinan dan kebudayaan, merentas hutan dan lain-lain,” katanya.

Pada program berlangsung bermula 2 Julai itu, tiga bandar raya iaitu Bandar raya Bandung, Bandar raya Qingyuan, dan Bandar raya Miyoshi telah menyertai program ini.

Setiap bandar raya menghantar 10 pelajar dan dua guru pengiring.

Manakala sekolah-sekolah tempatan menyertai program ini adalah SMK Damansara Damai 1, SMK Bandar Utama Damansara (4), SMK La Salle, SMK Seksyen 10, Kota Damansara, SMK (P) Taman Petaling, dan SMK Sri Permata. Jumlah keseluruhan peserta adalah 60 orang.