Categories
EKONOMI SELANGOR

PKNS peruntuk RM6.2 juta perkasa pembangunan usahawan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 JUL: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntukkan kira-kira RM6.2 juta bagi merealisasikan agenda pembangunan usahawan, di negeri ini.

Ketua Pegawai Korporatnya, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, sebanyak 14 program keusahawanan diuruskan pihaknya menerusi Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS.

“Inisiatif ini sebenarnya bermula 1998 meliputi empat teras utama iaitu pembudayaan, pemantapan, pembangunan dan jaringan usahawan.

“Ini merupakan manifestasi PKNS menterjemah aspirasi perbadanan dalam pembangunan sosial dengan melahirkan usahawan berdaya tahan, berdaya saing dan maju di masa hadapan.

“Usaha kolektif dan bersepadu turut dijalankan dengan kementerian berkaitan serta Kerajaan Negeri dalam melahirkan usahawan bumiputera berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Promosi Jualan Program Tunas Niaga (PROTUNE) dan Perintis Usahawan (PPU), di Atria Warisan Kompleks PKNS, di sini, semalam.

Terdahulu, program dirangka khusus secara tahunan itu berlangsung selama empat hari bermula 25 hingga 28 Julai, di Ruang Legar Kompleks PKNS.

Mengulas lanjut mengenai program terbabit, Zubaidah berkata, pelaksanaannya bakal membuka peluang kepada pelajar mengetahui selok-belok perniagaan sebenar.

“Selain menerapkan elemen keusahawanan, kami mahu membudayakan bidang usahawan ini kepada pelajar tanpa mengira latar belakang.

“Pada masa sama, jika sudah ada asas berniaga, mereka tidak akan hanya tertumpu untuk mencari pekerjaan selepas tamat alam persekolahan atau universiti,” katanya.

Turut hadir, Pengurus Besar Pembangunan Strategik PKNS, Suhaimi Kasdon; Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Shamsul Bahrin Md Shukur dan Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Sazali Baharudin.