Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 9 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Ogos ini sebagai hari mengundi, manakala penamaan calon akan diadakan pada 21 Julai (Sabtu) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N49 Sungai Kandis, Selangor.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood dalam sidang media di Ibu Pejabat SPR selepas mempengerusikan mesyuarat khas, pagi ini.

“Bagi PRK kali ini, tempoh berkempen ditetapkan adalah 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam, pada 3 Ogos 2018.

“Bagi urusan permohonan undi pos luar dan dalam negara, tarikh buka adalah 9 Julai 2018 dan tarikh tutup pada 21 Julai 2018,” katanya.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad pula dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK DUN N49 Sungai Kandis dan dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus.

Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19, Shah Alam akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Seramai 865 petugas dalam kalangan orang awam dilantik mengendalikan proses PRK dengan 19 premis bangunan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 109 saluran mengundi.

Dianggarkan RM1.4 juta peruntukan diperlukan bagi menjalankan PRK N49 DUN Sungai Kandis.

PRK ini akan menggunakan Daftar Pemilih sehingga Suku Pertama 2018 yang dikemaskini sehingga 2 Julai 2018.

“Daftar Pemilih itu mengandungi 51,230 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 51,217 pengundi biasa dan 13 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

“Daftar Pemilih Pilihan Raya akan mula dijual pada 16 Julai 2018,” katanya.

Sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR bersetuju menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-PRK) bagi memantau semua aktiviti kempen.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia, pada 2 Julai lalu ekoran kanser limfoma.

SPR juga sudah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi itu daripada Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, sehari kemudian.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hanafiah Husin (76).