Categories
SELANGOR

PRK Sungai Kandis: Pembangkang guna taktik biasa tarik undi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 24 JULAI: Pembangkan hanya menggunakan taktik biasa bagi menarik undi sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, kata Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

Malah katanya, UMNO mahupun PAS hanya menggunakan manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN), pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Helah yang dibawa pembangkang tidak relevan, hakikatnya mereka hanya mahu mengambil kesempatan sedangkan rakyat memberi kepercayaan penuh kepada PAKATAN untuk membaik pulih negara ini daripada terus dihancurkan Barisan Nasional (BN).

“Rakyat sendiri faham, mana mungkin negara yang ditadbir sekian lama oleh sebuah rejim mampu dipulihkan dalam tempoh singkat, namun PAKATAN sudah membuat pelbagai pembaharuan yang kini membuka mata rakyat,” katanya.

PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K Murthy.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

Pada PRU14 lalu, Shuhaimi memenangi kerusi itu dengan 23,998 undi selepas menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).