Categories
SELANGOR

PRK Sungai Kandis: SPR nasihat pengundi semak awal maklumat daftar pemilih

PUTRAJAYA, 30 JUL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor supaya menyemak maklumat daftar pemilih mereka lebih awal sebelum hari pengudian Sabtu ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, semakan awal memudahkan para pengundi merancang perjalanan serta mengelakkan berlaku kesesakan di pusat mengundi khususnya di barung semakan SPR.

“SPR menyeru kepada semua pengundi berdaftar di DUN Sungai Kandis supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu nanti untuk memilih wakil rakyat yang berkhidmat kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas PRK Balakong di ibu pejabat SPR di sini hari ini.

PRK DUN Sungai Kandis merupakan PRK pertama diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Shafiei yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.

PRK itu bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam, dan calon Bebas K. Murthy.

SUMBER: BERNAMA