Categories
SASTERA

Profesor: Menyelak kisah cinta agung

Oleh Zaharah Muhammad

 INI kali pertama saya membaca novel Faisal Tehrani dengan label “untuk pembaca matang”. Saya tidak terkesan dengan label syiah atau sesat yang biasa dihukumkan ke atas karya beliau tetapi label “matang” menimbulkan sedikit rasa cuak — apakah saya bersedia untuk membaca sesuatu yang dimaksudkan dengan “matang” itu. Kerana selama ini, saya membaca karya-karya Faisal bukan kerana ingin menikmati “kematangan” di dalam novel beliau, sebaliknya saya ingin membaca pemikiran, pemahaman atau pendiriannya yang saya kelaskan sebagai nadir bagi kategori penulis lelaki (Malaysia) yang mempunyai latar belakang bidang syariah atau secara lebih jujur ialah  — kelegaan sebagai seorang wanita apabila seorang penulis lelaki bersungguh-sungguh mengetengahkan sudut pandang yang mengangkat perasaan, pemikiran dan cabaran hidup seorang wanita yang lazimnya sukar didengari atau difahami oleh lelaki, ke dalam novel-novelnya.

Perkara pertama yang menarik ketika membelek-belek novel setebal 371 muka surat ialah petikan teks kuliah hak asasi manusia. Saya memulakan novel ini dengan membaca teks itu terlebih dahulu dan mengetepikan jalan cerita novel kerana tidak mahu terganggu oleh plot dan naratif yang melompat-lompat. Setelah habis menelaah petikan teks, Profesor sangat mendorong saya untuk mengingat semula novel Faisal bertajuk Tuhan Manusia yang menggunakan teknik penceritaan ‘berkhutbah’ untuk mematahkan hujah-hujah pendokong fahaman pluralisme agama. Melalui Profesor, Faisal menggunakan teknik yang sama (sebenarnya teknik teks khutbah atau teks kuliah adalah identiti beliau sendiri), bezanya kali ini ia dipersembahkan dalam bentuk teks uliah hak asasi manusia.

Terdapat banyak watak dalam novel ini dan hampir sembilan puluh sembilan peratus wataknya dari golongan intelektual dan ahli akademik. Saya menganggap pusat kepada watak-watak itu ialah Profesor Suliza, seorang ahli akademik merangkap seorang lesbian yang dibunuh di khalayak ramai melalui penghakiman massa tanpa usul periksa oleh pendokong hudud dan penentang tegar golongan LGBT. Suliza diseret keluar dari rumah, ditarik rambut, dibogelkan, dibaling batu, dibaling kayu dengan diiringi laungan takbir. Profesor Suliza dituduh mencabul seorang kanak-kanak perempuan dan juga dituduh memporak-perandakan rumah tangga Ustaz Idrus (seorang ustaz yang berpengaruh dan dianggap ulama yang tidak boleh disanggah, yang akhirnya menjadi orang yang dikehendaki oleh kerajaan Singapura atas label pengganas).

Profesor menawarkan pelbagai kisah beberapa orang wanita lesbian; pertama, yang kekal menjadi lesbian. Kedua, wanita lesbian yang akhirnya berkahwin dengan lelaki dan mempunyai anak. Juga terdapat watak lelaki lurus yang melakukan seks bebas sebelum berkahwin, dan ada Profesor Dr Ali Taqi (dari Tuhan Manusia) yang melonggarkan aliran pemikirannya dengan memberikan hak sedia ada kepada golongan murtad dan LGBT.

Dalam Profesor, Faisal berusaha menangkis prasangka terhadap golongan LGBT yang secara stereotaip menganggap golongan ini sebagai ‘pelaku jenayah’, memiliki pemikiran sesat dan mengancam kemanusiaan. Bagi masyarakat arus perdana, golongan LGBT sering digambarkan dengan diksi yang negatif beserta wujudnya keinginan untuk membasmi golongan ini atau cenderung untuk menunjukkan tindakan permusuhan dan diskriminatif. Pembunuhan Profesor Suliza adalah suatu keganasan dari apa sudut jua pun, tetapi masyarakat (terutama saksi kejadian) memilih untuk diam dan bersetuju kerana menganggap tindakan ‘menghudud’ Profesor Suliza adalah perkara mulia, malah berasakan diri mereka patut diucapkan terima kasih kerana dengan membunuh Profesor Suliza, sebenarnya mereka telah menolong menghantar profesor lesbian itu ke syurga (kerana telah dihukum di dunia).

Kisah ini menurut Faisal ketika pelancaran Profesor di Black Kettle, George Town 26 November 2017 lalu, terinspirasi dari kes Farkhunda (wanita Afghan) yang terkorban dalam serangan massa akibat tuduhan membakar al-Quran meskipun menurut saksi kejadian, perbuatan membakar al-Quran itu tidak berlaku. Apabila mendalami kedua-dua kisah ini – Profesor Suliza dan Farkhunda, kita akan tertanya-tanya, sejak bila manusia yang beragama ini perlu menjadi Tuhan?

Profesor Dr Ali Taqi di dalam nota syarahannya (melalui Dalila – watak perempuan yang pernah menjadi pasangan lesbian Profesor Suliza) di muka surat 55 menyebut, “Apakah gejala LGBTIQA menyalahi nilai-nilai moral yang didokong oleh masyarakat itu; atau apakah ia menyebabkan huru-hara untuk orang awam; dan adakah dengan memberi kebebasan kepada LGBTIQA akan mengakibatkan pula hak-hak orang lain dicabul?”. Inilah yang perlu ditanyakan ke dalam diri semua orang — diri kita sendiri.

Faisal tidak memberi jawapan muktamad dalam persoalan ini, tetapi melalui nota tersebut, terdapat beberapa jawapan berbeza berdasarkan wujudnya negara yang mengiktiraf dan meraikan LGBT, atau negara yang tidak memberi pengiktirafan secara rasmi tetapi melindungi hak-hak LGBT melalui perlindungan undang-undang yang bersifat anti-diskriminasi, serta negara-negara yang jelas menafikan hak-hak LGBT dan ada negara menganggap LGBT sebagai gejala yang janggal tetapi tidak sampai ke tahap menindas.

Profesor Dr Ali Taqi melalui notanya juga menyebut beberapa perkara yang saya anggap penting untuk diperhalusi iaitu: i) menyandarkan LGBTIQA sebagai ‘fenomena dari Barat’ sebagai tidak tepat kerana ada naskhah yang menunjukkan gaya hidup homoseksualiti lebih hampir kepada rantau Timur Tengah yang kini sebahagian besar dihuni oleh penganut Islam; ii) walaupun masyarakat menolak LGBT dengan keras, ia tetap berlaku (wujud) secara rahsia dan tersembunyi; iii) beza antara orientasi seksual dan perilaku seksual dan iv) negara tidak berhak mencampuri urusan ‘bilik tidur’ warganya.

Profesor menyuguhkan lebih plot berbanding beberapa novel mutakhir beliau. Apakah plot? Plot adalah sebab dan akibat. Simpang selirat plot atau kausaliti ini akan membawa kita meluncur kepada pelbagai asal musabab dan kesan impak seseorang watak sehingga kita melihat bagaimana Suliza menjadi aktivis/profesor, sementara Dalila pula terpedaya sehingga berkahwin. Plot dan naratif novel ini sengaja dibolak-balikkan, disela dengan nota syarahan para ‘profesor’ yang membuatkan pembaca yang gigih akan sabar dan bertahan untuk memahami cerita/isu meski memerlukan masa yang lama.

Lupakan muatan hak asasi manusia, Profesor juga adalah sebuah novel dengan cinta agung merentas zaman. Cinta yang saling bertimpaan menerusi plot dan strategi penceritaan yang kompleks.

Novel ini memberi peluang kepada keseluruhan masyarakat untuk memahami dan menjadi waras dalam menangani isu LGBT, atau paling tidak pun, untuk masyarakat faham bahawa menindas itu, tidak kira atas apa alasan, adalah suatu kesalahan yang sangat dimurkai oleh Tuhan.