Categories
NASIONAL

Pulau Pinang tuan rumah pelancaran bulan kebangsaan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 27 JUL: Pulau Pinang dipilih sebagai tuan rumah Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 pada 3 hingga 5 Ogos nanti.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pelancaran yang diadakan di Padang Kota Lama itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Ogos nanti.

“Bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan, program Kembara Merdeka Jalur Gemilang akan menjelajah seluruh negara bermula pelepasannya pada 4 Ogos di Pulau Pinang dan akan tamat pada 31 Ogos 2018 iaitu semasa acara Perrbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2018 di Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Wisma Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di sini, hari ini.

Gobind berkata, pelbagai aturcara menarik disusun sepanjang pelancaran itu nanti seperti Konsert Sayangi Malaysiaku, pertunjukan bunga api, program keagamaan, larian merdeka dan senamrobik, jualan My Best Buy Fama dan lain-lain.

Ketika menyentuh tema dan logo, ‘Sayangi Malaysiaku’ telah dipilih sebagai tema hari kebangsaan kali ini.

Sementata logo ciptaan Nik Zulkifli Nik Hitam yang menggambarkan simbol rakyat melakukan gerakan riang mengangkat tangan dengan satu bentuk hati di hadapan dipilih sebagai logo hari kebangsaan.

“Logo ini membawa maksud warganegara Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa hidup dalam kepelbagaian, harmoni, seia-sekata, bersatu padu dan terpahat perasaan kasih sayang kukuh kepada Negara Malaysia,” katanya.

Gobind juga menyeru setiap rakyat bersatu hati mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga mulai sekarang dan sehinggalah sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September 2018 di Kota Kinabalu, Sabah.