Categories
SELANGOR

Reformasi 1998 bina intelektual MB

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANGI, 9 JULAI: Gerakan reformasi yang tercetus pada 1998 memberi kesan kepada gaya pemikiran dan pembangunan intelektual Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Berkkongsi pengalaman, beliau yang ketika itu berumur 18 tahun terbabit dalam pasukan pendebat Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Aktiviti debat mencabar minda untuk cerdas membina bongkah hujah dan tangkas membalas hujah lawan, namun kerana pada waktu itu meletusnya episod penting dalam politik negara, perdebatan bukan sahaja sekadar memenangi pertandingan tetapi mengasah minda saya memahami persoalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perlawanan Akhir Pertandingan Debat DiRaja, di Auditorium Permata Pintar, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, kemahiran berdebat, pengucapan umum dan retorika yang ditimba sepanjang pembabitannya di universiti membantu beliau merungkai persoalan serta permasalahan awam selain berusaha mencari penyelesaian.

Katanya, hasil kerjasama dan keintiman pengasas awal sehingga kini, dunia debat melahirkan pendebat yang kembali berbakti kepada masyarakat dan negara.

“Saya ingin mengingatkan adik-adik di hadapan saya hari ini supaya tidak menjadi pendebat yang sekadar mahu memenangi pertandingan tetapi medan menajamkan intelektualisme dan idealisme,” katanya.

Perlawanan akhir bagi kategori Bahasa Melayu itu menemukan pasukan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pembangkang dan UPM sebagai kerajaan.

Pertandingan debat dengan format Parlimen itu menyaksikan UPM sebagai juara.