Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rizam Ismail calon Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JUL: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim mengesahkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tawar, Rizam Ismail dicalonkan menjadi Ketua Pembangkang yang baharu.

Beliau berkata, surat rasmi daripada Umno Selangor yang menamakan Rizam itu diterimanya pada 27 Jun lalu.

Katanya, pihaknya akan berbincang berkenaan lantikan Rizam itu dan memaklumkan pada DNS secara rasminya pada persidangan DNS yang dijadualkan September depan.

“Saya sudah menerima surat rasmi daripada parti itu memandangkan Umno memenangi empat kerusi pada Pilihanraya Umum ke-14 lalu.

“Kita akan berbincang terlebih dahulu dan akan memaklumkan kepada DNS bahawa kita sudah mempunyai calon Ketua Pembangkang.

“Lantikan ini disyorkan seperti lantikan Timbalan Speaker,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Suee Lim berkata, Ketua Pembangkang akan terus menikmati kemudahan seperti pejabat, setiausaha kerja, elaun, kereta dan pemandu.

Katanya, ia bagi mengiktiraf peranan Ketua Pembangkang dalam DNS.

“Saya berharap dengan lantikan ini, Ketua Pembangkang akan berperanan semak dan imbang serta semangat demokrasi akan terus disuburkan dalam dewan,” katanya.

=EZY=