Categories
SELANGOR

RM190,000 semarak 10 institusi Islam

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI KANDIS, 20 JUL: Kerajaan Negeri terus menyemarakkan pembangunan Institusi Islam di Selangor dengan menyalurkan sumbangan berjumlah RM190,000.

Sumbangan itu disampaikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Baik Pulih Institusi Agama Islam Selangor dan Solat Jumaat di Masjid Al-Muhsinin, Sungai Kandis.

Sebanyak 10 institusi Islam dipilih selaku penerima terdiri daripada tujuh masjid, dua Sekolah Agama KAFA dan satu surau.

Masjid Al Muhisinin, Sungai Kandis selaku tuan rumah mengetuai senarai penerima sumbangan berjumlah RM20,000 diikuti Masjid Al Bakri, Masjid Himmatul Aliyah dan Masjid Taman Seri Muda.

Kemudian disusuli Masjid Al Falah Jalan Kebun, Masjid Kampung Johan Setia dan Masjid Al Hidayah Kampung Johan Setia dengan masing-masing menerima jumlah sama, RM20,000.

Sekolah KAFA Telok Menegon dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Hajjah Faitimah masing-masing menerima RM20,000 manakala Surau Al Ikhlas, Bandar Putera menerima sumbangan RM10,000.

Amirudin dalam ucapan ringkasnya berkata, masjid perlu dimanfaatkan sebagai institusi penyatuan termasuk menarik golongan muda sesuai dengan nama Masjid Al Muhsinin yang membawa maksuk ‘memberi manfaat’.

“Jadikan masjid tempat berhimpuan dan merapatkan ukhwah. Mari kita leraikan perbezaan pandangan berkaitan hal dunia dan kehidupan seharian dengan bersujud kepada Allah di masjid ini,” katanya.

Sejurus selesai Solat Fardhu Jumaat, Amirudin bersama pimpinan Kerajaan Negeri dan kariah masjid bersama-sama menikmati makan tengahari di perkarangan luar sempena Majlis Ramah Mesra.