Categories
NASIONAL

RMC tanam semangat cintakan negara

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 22 JULAI: Maktab Tentera Diraja (RMC) bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang tetapi berjaya meningkatkan semangat kecintaan terhadap negara.

Justeru, tokoh ‘Old Putra Of The Year’ 2018, Liew Choon Lian berkata, pengambilan pelajar bukan Melayu untuk menyertai maktab itu wajar ditambah.

“Pengambilan pelajar bukan Melayu pada masa kini adalah sedikit berbanding era saya sebelum ini disebabkan faktor politik.

“Kalau era saya dahulu, pelajarnya terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India tetapi sekarang sangat kurang,” katanya kepada media pada Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Old Putra (OPA) RMC, di Hotel Sheraton, di sini, malam tadi.

Choo Lian berkata, beliau berharap usaha itu mendapat sokongan Kementerian Pertahanan kerana salah satu tradisi penting di RMC adalah mempertahankan keharmonian dan kesepaduan sesama pelajar dengan menolak perbezaan warna kulit.

Katanya, RMC akan mengambil langkah mengadakan publisiti lebih besar bagi menarik perhatian ibu bapa menghantar anak masing-masing ke situ.

“RMC berpontensi besar sebagai salah sebuah institusi ulung terkenal yang memiliki tradisinya tersendiri seperti United States Military Academy (USMA) yang dikenali sebagai West Point,” katanya.

Choon Lian dinobatkan sebagai Old Putra Of The Year Award, pada majlis tahunan gemilang itu.

Anugerah itu diberikan kepada bekas pelajar RMC yang mencapai tahap membanggakan sama ada dalam dan luar negara.

Selain itu, sumbangan individu terbabit kepada masyarakat dan RMC sendiri turut menjadi kriteria utama juri dalam memilih tokoh tepat.