Categories
NASIONAL

RMC teruskan keunikan tradisi 66 tahun

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 22 JULAI: Selepas 66 tahun ditubuhkan, Maktab Tentera Diraja (RMC) sememangnya dikenali kerana mempunyai tradisi sendiri.

Tradisi itu diteruskan apabila bekas pelajar yang dikenali sebagai ‘old putra’ (OP) bagi sesi 1978 menganjurkan Majlis Makan Malam Tahunan Ke-48, di Hotel Sheraton Petaling Jaya, di sini.

Presiden Old Putra Association (OPA), Datuk Baharudin Mahyuddin berkata, perjumpaan tahunan itu membolehkan alumni kolej terbabit bertemu untuk bertukar fikiran dan meningkatkan jaringan kerja.

“Majlis kali ini dihadiri kira-kira 700 OP yang terdiri daripada pelbagai latar belakang daripada Speaker, Timbalan Speaker, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri (ADN), pengusaha syarikat perindustrian, doktor dan peguam.

“Pelajar yang memasuki kolej pada 1978 menganjurkan majlis ini dan turut disampaikan ‘OP Of The Year Award’ kepada individu yang mencapai tahap yang perlu dibanggakan, sama ada peringkat dalam mahupun luar negara, sumbangan kepada maktab juga masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, majlis itu sekali gus membuktikan RMC berjaya melahirkan ramai tokoh yang memainkan peranan besar dalam bidang masing-masing.

“Kami digelar OP tidak kira pangkat sama ada Datuk atau Tan Sri, bila berjumpa kami dikenali sebagai OP dan bergaul dengan semua OP yang ada,” katanya.

Mengulas lanjut perkembangan OPA, Baharudin berkata, OPA turut terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan antaranya melancarkan misi kemanusiaan ketika banjir di Pulau Pinang dan gempa bumi di Sabah.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari yang juga ahli OPA berkata, perjumpaan tahunan itu memberi makna sangat besar kepadanya.

“Bagi saya, pendedahan RMC kepada saya sangat bermakna baik ketika saya saya memimpin gerakan mahasiswa, menceburi perniagaan dan terbabit dalam politik.

“RMC memberi latihan sangat baik untuk saya menjadi pemimpin. Kami dilatih mengharungi cabaran tanpa kira siapa,” katanya.

Sebelum itu, pemilik syarikat teknologi maklumat antarabangsa, Liew Choon Lian dianugerahkan OP Of The Year 2018.

Selain penyampaian anugerah, majlis makan malam itu turut diserikan dengan persembahan pelawak terkenal, Harith Iskander dan nyanyian oleh Alleycats.