Categories
EKONOMI SELANGOR

SACC Grocer by SK Mart tawar harga berpatutan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JUL: Pasar raya SACC Grocer by SK Mart yang kini dibuka di SACC Mall menawarkan harga berpatutan untuk barangan basah, mentah dan runcit sejak pembukaannya pada 9 Julai, lalu.

SACC Grocer by SK Mart merupakan outlet hasil kerjasama bersama PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dibuka khusus kepada warga Shah Alam untuk membeli barangan keperluan dengan harga berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, pembukaan pasar raya seluas 10,600 kaki persegi itu terletak di aras bawah SACC Mall bagi menggantikan pasar raya Giant.

“Kita yakin pembukaan pasar raya ini mampu menarik lebih ramai pengunjung selain membantu merancakkan perkembangan ekonomi di bandar Shah Alam dan Selangor secara menyeluruh,” katanya.

Manakala, Pengurus SACC Grocer by SK Mart, Azari Alias berkata, pasar raya itu sentiasa menawarkan barangan mentah yang dijamin segar setiap hari.

Katanya, antara barangan mentah ditawarkan adalah 1 kilogram (kg) ayam segar (RM6.99); sebiji lemon (RM1.00); seekor ikan siakap (RM6.99); seekor ikan bawal emas (RM5.99); 1kg sotong putih (RM12.90) dan sekeping daging lembu (RM18.50) serta beberapa lagi barangan lain.

“Promosi barang segar dan runcit terpilih itu akan berlangsung mulai 23 Julai hingga 5 Ogos ini dengan perbandingan harga kompetitif daripada pasar raya luar sebanyak RM1 selain memberi peluang kepada pembeli menikmati penjimatan yang berbaloi,” katanya.

Waktu operasi ‘SACC Grocer by SK Mart’ bermula jam 10.30 pagi hingga 10 malam dan majlis pelancaran secara rasmi dijangka akan berlangsung pada bulan September dengan tawaran promosi yang lebih mengujakan.

SK Mart yang dimiliki oleh SK Market juga mempunyai tiga pasar raya di cawangan lain iaitu di One City USJ Subang, Cheras dan Balakong.