Categories
SUKANKINI

Selangor bakal berdepan hukuman gara-gara kain rentang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 JULAI: Pasukan Selangor bakal berdepan hukuman tegas daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) susulan tindakan penyokong yang menaikkan kain rentang berunsur penghinaan semasa perlawanan Unifi Liga Super Malaysia 2018 menentang Kuala Lumpur, pada 15 Julai lalu.

MFL dalam kenyataan berkata, tindakan berkenaan melanggar Perkara 5, Organisasi Teknikal Perlawanan, Manual Liga Malaysia malahan penyokong Selangor turut bersorak berkait kain rentang itu.

Katanya, Bahagian D, Artikel 4.3 menyatakan, setiap pasukan bertanggungjawab memastikan penyokong pasukan mereka sentiasa mengikut peraturan MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“MFL mengambil serius isu ini kerana ia memberi kesan buruk terhadap imej dan reputasi Liga Malaysia. Tindakan tidak bertanggungjawab ini memberi kesan buruk kepada keyakinan penaja, pelabur dan penyiar.

“Jika pelaburan daripada penaja dan penyiar berkurang, maka pengagihan dana kepada seluruh pasukan yang bertanding di Liga Malaysia akan turut berkurang dengan pasukan Liga Super, termasuk Selangor sendiri menikmati pendapatan RM3 Juta tahun ini,” katanya.

Katanya, Lembaga Pengarah MFL akan membuat keputusan atas tindakan yang akan diambil terhadap pasukan Selangor demi mempertahankan pendapatan pasukan serta nilai pelaburan penaja juga penyiar.

“Isu ini juga dihantar kepada FAM untuk pertimbangan dan tindakan mengikut kod tata tertib.

“Antara tindakan yang boleh diambil termasuk denda dan sekatan terhadap venue perlawanan,” katanya.

Kredit Foto: Facebook Semuanya Bola