Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor pertama di Asean miliki kompleks rekreasi wanita

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 25 JUL: Kompleks rekreasi khas untuk wanita yang bakal dibina bukan sahaja menjadikan Selangor sebagai model kepada negeri lain, bahkan merupakan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kompleks yang bakal dilengkapi pelbagai kemudahan mesra wanita itu dijangka mampu menarik perhatian pelancong wanita daripada luar negara khasnya daripada Asia Tengah.

“Kompleks ini bakal dilengkapi kolam renang, gelanggang dalaman, pelbagai kemudahan seperti pusat penjagaan kanak-kanak, spa, pusat dandanan rambut dan kecantikan serta urutan sekali gus membolehkan wanita boleh menghabiskan masa sehari di hujung minggu mereka di kompleks ini untuk memanjakan diri mereka.

“Projek ini juga mempunyai pasaran antarabangsa apabila kompleks ini dijadikan sebagai tarikan kepada wanita luar negara yang datang ke negara kita.

“Ia satu lagi peluang ekonomi dan kita cuba laksanakan mengikut taraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media lawatan tapak projek kompleks terbabit yang turut dihadiri Pengerusi Institut Wanita Berdaya (IWB), Dr Daroyah Alwi di Bandar Bukit Puchong di sini, hari ini.

Zuraida berkata, kompleks ini bakal menjadi tempat yang sangat sesuai untuk golongan wanita mendapatkan privasi bersosial sesama mereka sama ada untuk bertukar fikiran, membina jaringan kerja dan lain-lain.

Katanya, kompleks didirikan di atas tanah seluas 15 ekar ini mampu membantu golongan wanita melegakkan tekanan terhadap tanggungjawab sebagai suri rumah mahupun berkerja di pejabat.

“Kita nak membudayakan agar wanita turut melihat kesihatan, mental dan ruang untuk istirahat atau terapi mereka kerana saya lihat ramai wanita tidak menghiraukan tentang diri sendiri ekoran kesibukan kerja dan menguruskan rumah tangga,” katanya.

SelangorKini difahamkan kos projek ini hanya dapat diketahui apabila kajian perincian kompleks ini disiapkan sepenuhnya nanti.