Categories
SUKANKINI

Shopee Piala FA: Polis kawal ketat

SHAH ALAM, 7 JUL: Polis memberi amaran kepada penyokong pasukan Selangor dan Pahang agar tidak mencetuskan sebarang provokasi serta perbuatan lain yang ditegah ketika menyaksikan perlawanan akhir Shopee Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ini termasuk membakar mercun serta suar dan mereka yang ingkar akan dikenakan tindakan tegas.

“Nak menyanyi, chants, pukul gendang, bersorak polis tak halang, tapi jangan sampai timbulkan provokasi yang boleh menimbulkan kemarahan kedua-dua penyokong,” katanya dipetik Bernama pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Mazlan berkata, polis juga berjumpa dengan wakil penyokong Selangor untuk membincangkan langkah-langkah untuk mengawal keselamatan semasa perlawanan itu berlangsung.

“Penonton dinasihatkan datang awal ke stadium dan menggunakan pengangkutan awam untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Seramai 1,486 anggota dan pegawai polis ditempatkan di beberapa kawasan strategik di luar dan dalam stadium bagi memastikan kelancaran pertemuan skuad Tok Gajah dan Red Giants ini,” katanya.

SUMBER: BERNAMA