Categories
SUKANKINI

Shopee Piala FA: Selangor-Pahang sedia tempur esok

OLEH AFIX REDZUAN

BUKIT JALIL, 6 JULAI: Selangor dan Pahang bersiap sedia membuat perhitungan dalam aksi perlawanan akhir Shopee Piala FA 2018 malam esok, di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir mengharapkan pemainnya dapat mempamerkan aksi terbaik bagi merealisasikan hasrat negeri itu menjulang trofi Shopee Piala FA kali keenam.

Katanya, Pahang mempunyai barisan pemain berpengalaman menghadapi perlawanan akhir, namun keupayaan pemainnya tidak boleh diperkecilkan.

“Ini pengalaman pertama cukup besar buat saya dalam karier sebagai jurulatih. Saya tidak mengharapkan kesempurnaan tetapi semua dirancang dipermudahkan.

“Tambahan tidak ramai yang sangka kita akan pergi jauh dalam saingan kali ini tetapi dengan sokongan pengurusan dan pemain senior, mereka cukup positif dan banyak membantu membawa pasukan ke peringkar akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media menjelang pertemuan akhir, di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Katanya, beliau lebih selesa dengan status pasukan bukan pilihan tambahan kombinasi pemain berpengalaman dan muda Selangor akan mempamerkan aksi terbaik.

Bagi ketua pasukan Red Giants, Mohd Amri Yahya, beliau mengharapkan tuah akan berpihak kepada Selangor esok dan semua pemain beraksi secara berpasukan.

Dalam sidang media berasingan, Jurulatih Pahang, Dollah Salleh beranggapan kedua pasukan mempunyai peluang untuk menjulang kejuaraan.

Katanya, beberapa pemain berbisa seperti Mohd Amri akan cuba dikawal sebaik mungkin selain mengelak kesilapan mudah.

Untuk rekod, Selangor menjulang trofi Shopee Piala FA sebanyak lima kali, sementara dua kejuaraan milik Pahang.

Kali terakhir Selangor memenangi Shopee Piala FA, pada 2009 sementara Pahang yang membuat penampilan untuk musim kedua berturut-turut menjulang trofi sama, pada 2014 sebelum kecewa tewas 3-2 kepada Kedah, tahun lalu.