Categories
PBT SELANGOR

Shukri kini YDP MDHS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 JULAI: Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Shukri Mohamad Hamin mengakhiri tugas di Majlis Bandaraya Shah Alam dan kini dilantik selaku Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) baharu.

Perkara itu diumumkan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad, pada Majlis Budi Disanjung, Jasa Dikenang, di Hotel Concorde, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, pelantikan itu adalah pengiktirafan kepada perkhidmatan cemerlang Shukri sepanjang bersama MBSA.

“Kerjasama diberikan Shukri sepanjang berada di MBSA membuktikan komitmen beliau terhadap tugasan diberi.

“Beliau sudah berjaya melaksanakan amanah dengan dedikasi dan semoga satu hari nanti beliau kembali ke Shah Alam semula,” katanya.

MBSA turut menghargai peranan dimainkan ahli majlisnya yang menyumbang kepada pelaksanaan dasar di kawasan pentadbiran berkenaan.

Khidmat ahli majlis MBSA bagi penggal 2016-2017 tamat, pada 30 Jun lalu.

MBSA memiliki 23 ahli majlis dengan proses pelantikan dibuat menerusi senarai nama dikemukakan komponen pentadbiran negeri, sebelum ini.