Categories
SELANGOR

Sokong PAKATAN, terus agenda bela rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 JULAI: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis diminta terus mengekalkan Pakatan Harapan (PAKATAN) di kawasan itu supaya program pembangunan dapat diteruskan seperti dirancang.

Calon PAKATAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, sokongan itu penting bagi dirinya dan gabungan terbabit untuk meneruskan pembangunan, termasuk perancangan digariskan penyandang, Allahyarham Shuhaimi Shafiei di DUN berkenaan.

“Sokongan dan dokongan pengundi di DUN Sungai Kandis bagi memastikan kemenangan lebih besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini sangat saya harapkan.

“Harapan saya kepada pengundi untuk memberi mandat kepada saya bagi meneruskan usaha dan program dirancang Shuhaimi,” katanya pada Ceramah PAKATAN bagi PRK DUN Sungai Kandis, di Taman Sri Andalas, di sini, semalam.

Beliau berkata, menerusi cara itu rakyat akan terus mendapat pembelaan, termasuk menikmati program dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“PRK ini adalah ruang dan masa untuk kita memastikan program Kerajaan Negeri, termasuk Inisiatif Peduli Rakyat dapat terus dinikmati seluruh rakyat di negeri ini,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Zawawi dengan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon BEBAS, K Murthy.