Categories
SELANGOR

Speaker serah notis kekosongan DUN Sungai Kandis pada SPR

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 JUL: Kerajaan Selangor sudahpun menyerahkan notis berhubung kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perkara tersebut disahkan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, beliau menerima sijil kematian Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei daripada keluarga allahyarham pagi tadi.

“Apabila menerima sijil tersebut, barulah kami memaklumkan secara rasmi kepada SPR mengikut Bahagian Dua, Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 Perkara 70 (5) berhubung kekosongan luar jangka.

“Pihak saya menyerahkan notis ini kepada SPR pagi tadi melalui serahan tangan kepada pengurus SPR di Putrajaya, jadi secara rasminya saya boleh katakan Kerajaan Selangor sudah selesaikan isu ini, sekarang terpulang pada SPR untuk membuat tindakan lanjut,” katanya.

Shuhaimi, 50, meninggal dunia akibat kanser limfoma tahap empat di Pusat Perubatan Subang Jaya jam 11.10 pagi, semalam.

Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam.

=EZY=