Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Sungai Tengkala tarik 9,000 pengunjung setiap bulan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEMENYIH, 5 JUL: Taman Eko Rimba Sungai Tengkala menarik hampir 9,000 pengunjung dalam tempoh sebulan.

Pegawai Hutan Daerah Selangor Tengah, Tengku Mohd Ridzuan Tengku Ibrahim berkata, jumlah berkenaan naik daripada 3,000 pengunjung pada awal Januari tahun ini.

Katanya, peningkatan jumlah pengunjung itu sekaligus menunjukkan bahawa taman rekreasi di negeri ini semakin mendapat perhatian orang ramai untuk beriadah bersama keluarga.

“Sudah tentulah ramai yang datang ke sini disebabkan aktiviti mandi sungai, ini kerana kedalaman sungainya sesuai untuk semua tahap umur termasuk kanak-kanak.

“Sekiranya pengunjung sukakan air terjun, mereka boleh melalui jalan hutan sejauh dua hingga ke tiga kilometer (km) ke Air Terjun Sungai Tengkala,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Taman Eko Rimba Sungai Tengkala mula dibuka pada 1978 serta dikenali sebagai Hutan Lipur Sungai Tengkala pada awalnya.

Selain sungai, taman rekreasi yang diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Selangor itu turut menyediakan kemudahan termasuk tapak perkhemahan, surau, tandas dan juga Danai Jelutong yang bertujuan untuk memberi maklumat mengenai hutan kepada orang awam.

Tengku Mohd Ridzuan berkata, hampir setiap minggu taman rekreasi berkenaan akan dipenuhi pengunjung termasuk pelancong asing.

“Selain Sungai Tengkala, Taman Eko Rimba Gunung Nuang, Taman Eko Rimba Congkak dan Taman Eko Rimba Sungai Gabai turut menjadi tumpuan orang ramai untuk beristirehat, dan secara keseluruhannya di Selangor, terdapat 10 taman eko rimba yang diselenggara Jabatan Hutan Selangor,” katanya.