Categories
NASIONAL

Tak akan jadi ‘tong sampah’ sisa pepejal

SHAH ALAM, 31 JUL: Malaysia tidak akan menjadi ‘tong sampah’ kepada sisa pepejal dunia, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Bee Yin berkata, ia tidak terjadi walaupun berlaku lambakan bahan buangan berkenaan ekoran tindakan China mengharamkan kemasukan sisa pepejal negara maju ke negara berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan baharu bagi permohonan lesen import sisa pepejal selain membatalkan serta-merta lesen ke atas semua 114 pemegang lesen sebelum ini bagi mengekang isu itu.

Katanya, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara mengeluarkan lesen berkenaan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Pengusaha perlu memohon semula mengikut SOP dan kriteria baharu dalam usaha memastikan tiada pelanggaran standard serta peraturan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri Persidangan Dewan Rakyat, lapor BERNAMA, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bebas-Bagan Serai) yang ingin tahu berhubung tindakan kementerian membabitkan longgokan beribu tan sisa pepejal dari negara maju selepas tindakan pengharaman oleh China.

Bee Yin berkata, kebanyakan negara Barat mengeksport sisa pepejal ke negara Asia lain selepas tindakan China, yang berkuatkuasa Januari lalu.

Beliau berkata Malaysia menjadi pengimport terbesar sisa pepejal plastik dari United Kingdom dengan mengimport 17 peratus daripada keseluruhan 250,000 tan sisa pepejal dari negara berkenaan hanya untuk tempoh suku pertama tahun ini, berdasarkan laporan ‘British National Audit Office’.

“Sebagai perbandingan, sebanyak 40 peratus sisa pepejal plastik negara itu diimport China untuk tempoh sama, tahun lalu. Kerajaan turut menubuhkan satu task force untuk mengkaji kaedah terbaik kawalan import plastik yang dihentikan.

“Kerajaan sedia maklum, terlalu banyak sisa plastik berada di tempat berbeza sejak Januari lalu. Kerajaan juga bersedia mengambil tindakan terhadap pengusaha yang cuba nasib memproses plastik ini secara haram dan akan membawa mereka ke mahkamah berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.