Categories
SELANGOR

Tekad jadikan DUN Sungai Kandis terbaik dan terbersih

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 JUL: Calon Pilihan Raya Kecil N49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni tekad mahu jadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis terbaik di Selangor.

Mohd Zawawi berkata, beliau optimis mahu menjadikan kawasan di DUN Sungai Kandis itu sebagai yang terbaik dan terbersih di negeri ini.

“Komitmen saya sebagai calon untuk memastikan kawasan bandar dan luar bandar selamat daripada sebarang pencemaran alam sekitar.

“Saya sudah menerima aduan daripada beberapa penduduk mengenai tempat pembuangan sampah haram yang semakin berleluasa dan perkara itu akan dibawa kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pilihan Raya Kecil N49 Sungai Kandis bertempat di Bilik Gerakan Utama Sungai Kandis, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai cadangan yang akan diusulkan untuk menjadikan alam sekitar lebih komprehensif, calon N49 itu berkata, beliau bercadang mahu wujudkan pendekatan 3P (Pendekatan, Pelaksanaan, Penguatkuasaan).

“Daripada segi pendidikan, saya mahu kesedaran awam dipertingkatkan menerusi media massa berkenaan perlunya penjagaan alam sekitar kerana peranan dan fungsi manusia adalah memakmurkan bumi ini.

“Pelaksanaan pula menguatkuasakan undang-undang peraturan sedia ada manakala penguatkuasaan merujuk kepada sejauh mana komitmen setiap pihak dalam berkuat kuasa menangani masalah ini,” katanya.

Terdahulu, Mohd Zawawi berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk di kawasan Sungai Kandis berkenaan lambakan sampah haram berlaku di persekitaran mereka dan beliau optimis mahu menyelesaikannya sebaik mungkin.