Categories
SELANGOR

Terus sokong PAKATAN, jayakan reformasi negara

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 JUL: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, disaran terus memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) agar proses reformasi dilakukan dapat terus dilaksanakan di peringkat negeri dan negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dengan mengundi dan mengekalkan calon PAKATAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni di DUN berkenaan, memberi isyarat jelas rakyat mahukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan masa kini.

“Hanya ada satu pilihan dalam PRK ini iaitu meneruskan sokongan kepada PAKATAN untuk kita melakukan proses perubahan dalam negara.

“Rakyat harus memberi sokongan kepada reformasi dilakukan terhadap jabatan dan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan yang lain di mana PAKATAN mahu mentadbir negara dengan telus juga lebih cekap tanpa pembaziran, rasuah serta penyelewengan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Pilihanraya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis bagi membantu calon PAKATAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni di Taman Sri Andalas di sini, semalam.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu berkata, PAKATAN komited melakukan perubahan terhadap pentadbiran negara diwarisi daripada Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa demi mengembalikan zaman kegemilangan pernah dikecapi negara pada suatu masa dahulu.

“Kita mahu melakukan perubahan dengan mengembalikan zaman kegemilangan negara pernah dicipta di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Zawawi daripada PAKATAN dengan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon BEBAS, K Murthy, dengan proses pembuangan undi pada 4 Ogos ini.

Ia diadakan ekoran kematian penyandangnya daripada PAKATAN, Shuhaimi Shafiei, akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.