Categories
NASIONAL

Tinggikan kompaun agensi tipu umrah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 JUL: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) sedang mempertimbang untuk meningkatkan kadar kompaun terhadap agensi pelancongan yang terbabit dengan penipuan pakej umrah.

Timbalan Ketua Setiausahanya, Haslina Abdul Hamid berkata, ketika ini mereka yang didapati terbabit dengan kes penipuan itu hanya dikenakan denda RM5,000 yang dilihat terlalu rendah dan tidak memberi sebarang kesan kepada pelakunya.

Katanya, kementerian kini di peringkat akhir bagi perbincangan berkenaan dan keputusan akan diserahkan kepada menteri dan timbalan menteri yang baru dilantik sebelum ia dimuktamadkan serta dibawa ke Kabinet.

“Tujuan utama adalah untuk memberi pengajaran supaya mereka tidak mengulangi kerana ia menganiayai golongan yang ingin menunaikan umrah terutama yang berada di luar bandar.

“Pengendali pakej umrah yang menipu ini terlalu licik jadi untuk selesaikannya juga mengambil masa jadi langkah meningkatkan kadar kompaun ini sebagai usaha tepat,” katanya dipetik Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian B2B Umrah dan Percutian Muslim 2018 anjuran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), semalam.

Sejak 2012 hingga Mei 2018, sebanyak 359 kes dilaporkan berhubung penipuan melibatkan agensi umrah dengan melibatkan kerugian bernilai RM12.4 juta.