Categories
NASIONAL

TMJ ucap tahniah kepada Syed Saddiq dan Dr Maszlee

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 JUL: Pelantikan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Baginda bertitah, pelantikan itu merupakan satu lagi fenomena baru dalam legasi kepimpinan anak muda meneraju pembangunan negara.

“Saya mengucapkan tahniah atas pelantikan Yang Berhormat (YB) Syed Saddiq Abdul Rahman selaku Menteri Belia dan Sukan baharu dan juga kepada YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia yang mana kedua-duanya berasal daripada Johor.

“Ia pastinya satu lagi fenomena baharu dalam legasi kepimpinan orang muda untuk menjadi peneraju utama agenda pembangunan negara,” titah baginda di petik di laman rasmi facebook Johor Southern Tiger.

Baginda bertitah, semoga pelantikan itu dapat membantu sistem pentadbiran negara serta turut membawa lebih manfaat dalam pendidikan dan sukan di negara ini.

Baginda juga menyifatkan pemilihan dibuat pimpinan tertinggi negara bagi mengisi jawatan menteri-menteri kabinet baru-baru ini sebagai satu pilihan yang tepat.

“Saya turut mengucapkan syabas kepada pemimpin tertinggi kerajaan kerana memilih pemimpin-pemimpin berkaliber yang mampu membawa pembaharuan dan juga pembangunan yang lebih tinggi untuk negara ini. Selamat maju jaya saya ucapkan kepada semua,” titah baginda lagi.