Categories
SELANGOR

Tourism Selangor sertai ‘International Travel Award 2018’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 JUL: Tourism Selangor terus melebarkan sayapnya ke peringkat global apabila tersenarai dalam pencalonan ‘International Travel Award 2018’, yang mengiktiraf syarikat dan agensi pelancongan terbaik dunia.

Penyertaan sulungnya sekali gus membuktikan, pemain utama sektor pelancongan tempatan itu berada pada landasan tepat bagi memperkenalkan produk menarik di Selangor secara lebih inklusif.

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, pencalonan untuk turut serta dalam pertandingan itu dijalankan sendiri pihak penganjur yang kini bertapak di Eropah.

“Pada awalnya mereka menghantar surat jemputan kepada kami dengan meminta beberapa senarai diperlukan sehingga melayakkan kami bertanding.

“Ia termasuk perkara membabitkan inisiatif dan produk baru diperkenalkan Tourism Selangor bagi menjayakan lagi industri pelancongan. Kami tersenarai untuk pencalonan itu,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ‘Riang Raya Retro’ Tourism Selangor, di Grand Ballroom, Hotel Concorde, di sini, semalam.

Turut hadir dalam majlis itu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Exco Kebudayaan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari serta Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Pada masa sama, Ashikin berkata, besar harapan pihaknya memenangi anugerah berprestij itu yang diyakini mampu memberi perkembangan positif terhadap industri pelancongan negeri.

“Komitmen dan sokongan orang ramai terutama seluruh rakyat negeri ini diperlukan supaya kami boleh memenangi anugerah itu tahun ini,” katanya.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan antaranya, ‘World’s Best High Tech Destination’, ‘World’s Best Heritage Destination’ dan ‘World’s Best Family Friendly Destination’.

Justeru, orang ramai boleh membuat undian secara atas talian di https://internationaltravelawards.org/vote.php?vote_id=f2hyoScpWTMx atau melayari laman sesawang www.tourismselangor.my.