Categories
SELANGOR

Tumpuan mula terarah kepada PRK Sungai Kandis

SHAH ALAM, 21 JUL: Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis menyaksikan Calon KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, bakal berdepan Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam, 45, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Kurang beberapa jam lagi, kedua-dua calon akan menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, yang ditetapkan bermula jam 9 pagi nanti.

Ia merupakan PRK pertama diadakan selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya menubuhkan kerajaan setelah memperoleh kerusi majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kedua calon mempunyai 14 hari berkempen dan menyatakan janji mereka bagi berkhidmat kepada rakyat dan kawasan pilihan raya itu.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU-14, Shuhaimi memperoleh sebanyak 23,998 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi) dan Hanafiah Husin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang mendapat 76 undi.