Categories
NASIONAL

Wan Azizah rai 10,000 warga Ampang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 21 JUL : Biarpun Syawal sudah melabuhkan tirai, namun kemeriahan bulan mulia itu tetap diraikan pimpinan Putrajaya, dan Kerajaan Negeri.

Kemeriahan itu diteruskan menerusi penganjuran Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di Padang Perbandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Lebih istimewa, majlis rumah terbuka itu turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Hadir sama, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan Timbalan Menteri di Jabatan Agama, Dr Fuziah Salleh.

Turut hadir Exco Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Sementara itu, Wan Azizah dalam ucapannya berkata, penganjuran Majlis Rumah Terbuka itu diadakan bagi menghargai sokongan rakyat Ampang, pada Pilihan Raya Umum 14 lalu.

“Walaupun ia diadakan sedikit lewat, namun program ini tetap diadakan demi sokongan rakyat Ampang yang memberi mandat kepada kami untuk menerajui kepimpinan di Putrajaya.

“Semoga sokongan ini akan berterusan,” katanya.