Categories
SUKANKINI

WC2018: England ke separuh akhir selepas penantian 28 tahun

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 8 JUL: Penantian 28 tahun England untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 akhirnya dimakbulkan selepas cemerlang menewaskan Sweden 2-0 pada peringkat suku akhir.

Dua jaringan menerusi tandukan daripada Hary Maguire dan Dele Alli di setiap babak sudah cukup meleburkan impian Sweden.

Aksi 20 minit pertama perlawanan agak hambar apabila kedua-dua pasukan tercari-cari rentak sehingga penyerang England, Harry Kane gagal melepaskan rembatan leret ke sasaran dalam satu gerakan serangan ke kubu Sweden.

Selepas setengah jam permainan, pertahanan England, Maguire akhirnya berjaya membuka tirai jaringan 0-1 apabila berjaya menanduk sepakan penjuru Ashley Young.

Seminit selepas babak kedua bermula, Marcus Berg hampir menyamakan kedudukan buat Sweden menerusi satu tandukan tepat tetapi berjaya ditepis penjaga gol, Jordan Pickford.

Ketika Sweden ghairah mengasak kubu lawan, England berjaya melebarkan jaringan 0-2 juga menerusi tandukan dan kali ini daripada Dele Alli hasil hantaran lintang Jesse Lingard di minit ke-59.

Selang tiga minit kemudian, Viktor Claesson cuba merobek pertahanan England tetapi rembatannya sekali lagi dinafikan Pickford yang terlebih dahulu merebahkan badan ke sebelah kanan gawang.

Tiada tambahan jaringan disaksikan dan England meneruskan rekod cemerlang untuk mara ke separuh akhir.

 

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup