Categories
SUKANKINI

WC2018: England ke suku akhir, akhiri badi sepakan penalti

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 4 JUL: England mengakhiri badi sepakan penalti dalam kejohanan Piala Dunia 2018 apabila menyingkirkan Colombia 3-4 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 untuk mara ke suku akhir awal pagi tadi.

Penjaga gol England, Jordan Pickford muncul wira pasukan apabila menyelamatkan sepakan kelima Colombia yang gagal disempurnakan Carlos Becca sementara Eric Dier memastikan bola menerjah jaring bagi melayakkan kemaraan skuad The Three Lions.

England nyaris kecewa selepas sepakan penalti Jordan Henderson ditepis keluar penjaga gol Colombia, David Ospina disusuli kegagalan sepakan Mateus Uribe yang terkena palang gol.

Terdahulu, kedua-dua pasukan buntu tanpa jaringan di babak pertama tetapi segalanya berubah pada minit ke-55 apabila Carlos Sanchez dipersalahkan kerana menolak Harry Kane sekaligus menghadiahkan sepakan penalti buat England.

Harry Kane tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol Colombia, David Ospina bagi kedudukan 0-1 buat England.

Colombia melancarkan beberapa siri serangan bagi mencari gol penyamaan namun gagal membuahkan hasil.

Ketika perlawanan hampir menuju penamat, Yerry Mina melakukan tandukan tepat untuk menghidupkan kembali peluang Colombia untuk ke suku akhir bagi mengikat kedudukan 1-1.

Berpunca daripada sepakan penjuru Juan Cuadrado, Mina melonjak tinggi sebelum melepaskan tandukan lantun yang memerangkap penjaga gol England, Jordan Pickford pada minit ke-93.

Kedua-dua pasukan juga buntu menjelmakan jaringan pada 30minit masa tambahan hingga memaksa diheret ke penentuan sepakan penalti.

Sweden menanti England di suku akhir selepas menewaskan Switzerland 1-0.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup 2018