Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

WC2018: Penantian Perancis 20 tahun juara Piala Dunia berakhir

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 16 JUL: Perancis dinobatkan selaku Juara Piala Dunia 2018 selepas menewaskan Croatia 4-2 dalam aksi final yang berlangsung penuh bertenaga di Stadium Luzhniki, Rusia.

Kejayaan ini menebus kekecewaan dua tahun lalu apabila mereka kecundang 0-1 di tangan Portugal dalam aksi akhir Piala Eropah 2016 di laman sendiri.

Perancis terlebih dahulu mendahului perlawanan 1-0 hasil jaringan sendiri Mario Mandzukic pada minit ke-18.

Berpunca daripada sepakan percuma Antoine Griezmann, Mandzukic yang melonjak tinggi menyentuh bola yang terus menerjah gawang sendiri tanpa mampu diselamatkan penjaga gol, Danijel Subasic.

Tidak menyerah kalah, Croatia kembali menyusun permainan dan hasilnya gol penyamaan dicari akhirnya menjelma pada minit ke-28 hasil jaringan Ivan Perisic.

Bermula dari satu sepakan percuma, Demagoj Vida tenang mengawal bola yang diberikan kepada Perisic sebelum beliau melepaskan rembatan kaki kiri terus ke gawang Perancis tanpa mampu diselamatkan Hugo Lloris bagi kedudukan 1-1.

Masuk minit ke-33, perlawanan terpaksa dihentikan seketika kerana pemain Perancis mendakwa bola sepakan penjuru Griezmann terkena tangan Perisic dalam kotak penalti.

Pengadil, Nestor Pitana dari Argentina melihat semula ulang tayang menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) dan membuat keputusan menghadiahkan sepakan penalti kepada Perancis.

Griezmann yang dipertanggungjawabkan mengambil sepakan penalti tenang meletakkan bola ke sebelah kanan gawang Croatia yang dikawal Subasic pada minit ke-38 bagi kedudukan 2-1.

Bersambung pada babak kedua, Griezmann menguji gawang Croatia menerusi rembatan pada minit ke-46 yang terus ke dakapan Subasic.

Seminit kemudian, Lloris bertindak cemerlang dengan menepis rembatan Ante Rebic.

Perancis memperoleh peluang terbaik menerusi Kylian Mbappe di minit ke-51 tetapi Subasic lebih bersedia menghalangnya.

Paul Pogba menjadikan kedudukan selesa 3-1 buat Perancis apabila menghasilkan jaringan di minit ke-58 apabila melepaskan rembatan kaki kiri yang berjaya memerangkap Subasic di garisan gol Croatia.

Croatia terus derita pada minit ke-65 apabila Mbappe menjadikan kedudukan 4-1 buat Perancis apabila tenang melepaskan rembatan rendah hasil hantaran Lucas Hernandez.

Mandzukic merapatkan kedudukan 4-2 pada minit ke-68 buat Croatia apabila memanfaatkan kesilapan Lloris dengan mudah menampan bola terus ke gawang.

Croatia cuba menambah jaringan bagi merapatkan kedudukan namun benteng pertahanan Perancis kental bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Ini merupakan kejuaraan Piala Dunia kedua buat Perancis selepas pertama kali melakukannya pada 1998 sekaligus menjadikan jurulatih Perancis, Didier Deschamps sebaris dengan lagenda lain apabila menjula piala berprestij itu sebagai pemain dan jurulatih.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup