Categories
NASIONAL

“Yang Berhormat sila duduk, jangan lari”-YDPA

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Parlimen Ke-14 yang berlangsung hari ini riuh apabila Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V secara spontan bertitah supaya anggota Dewan Rakyat tidak lari.

“Ahli Yang Berhormat sila duduk dan jangan lari,” titah baginda sambil kemudian melemparkan senyuman.

Titah baginda itu menyebabkan Dewan Rakyat menjadi gamat dengan gelak ketawa.

Terdahulu, sidang Parlimen bermula dengan situasi ‘panas’ ekoran bantahan daripada ahli Parlimen pembangkang terhadap pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, kurang 10 minit sidang Dewan Rakyat berlangsung.

Ahli Parlimen dari PAS dan Barisan Nasional menyuarakan bantahan itu ketika Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yunos sebagai Speaker.

Semua ahli pembangkang tidak berpuas hati dengan pelantikan itu, mendakwa pelantikan Speaker adalah tidak mengikut ‘Point of Order’ atau Peraturan 4(1) Parlimen.