Categories
SELANGOR

Zawawi mahu tubuh pusat kaunseling pelihara institusi keluarga

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 JULAI: Prihatin menangani isu membabitkan institusi kekeluargaan dan wanita, calon Pakatan Harapan N49 Sungai Kandis, berazam memanfaatkan kepakarannya membantu golongan itu dengan menubuhkan pusat kaunseling, di lokasi terpilih.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, perjuangan mengangkat martabat wanita dan memperkasakan institusi kekeluargaan adalah usaha penting yang perlu diberi perhatian, pada masa kini.

“Pusat ini penting kerana ia boleh dijadikan rujukan dan premis menawarkan nasihat, termasuk penganjuran pelbagai kursus keibu bapaan ke arah memperkasakan institusi kekeluargaan.

“Saya dan isteri mahu memanfaatkan kepakaran yang dimiliki dalam bidang motivasi dan pembangunan keluarga bagi membantu mereka, terutama yang berdepan masalah hidup atau keganasan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utamanya, di sini.

Mohd Zawawi berkata, wanita adalah modal insan dalam pembangunan sesebuah keluarga, sekali gus berhak mendapat nasihat dan bimbingan jika mahu masyarakat berkualiti.

“Saya amat sedar pada era pembangunan pesat hari ini, golongan wanita tidak terlepas daripada berdepan pelbagai cabaran hidup sehingga menyebabkan mereka hilang pedoman.

“Usaha ini perlu dilihat secara serius. Saya tidak mahu mereka dianggap golongan kelas kedua. Maruah mereka harus dijulang dan khidmat mereka dihargai,” katanya.

Beliau berkata, separuh daripada pengundi di kawasan DUN berkenaan merupakan pengundi wanita, malah beliau mempunyai rumah perlindungan Darul Warda yang diasaskan sejak 10 tahun.

“Oleh itu, saya mahu melaksanakan program pemberdayaan wanita dan keluarga antaranya pemberdayaan pendidikan, kesihatan, keselamatan, ekonomi, budaya dan kebajikan,” katanya.