Categories
SELANGOR

Zawawi seru pengundi kekalkan Sungai Kandis bawah KEADILAN

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 JUL: Calon KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menyeru mengundi untuk terus memberi mandat kepada KEADILAN pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis.

Beliau berkata, mandat dan kepercayaan rakyat itu penting supaya parti dapat terus membela dan menjaga kebajikan rakyat di kawasan DUN berkenaan.

“Saya menyeru supaya rakyat berikan mandat sekali lagi kepada parti dalam PRK ini seperti mana yang telah mereka lakukan sebelum ini.

“Saya yakin rakyat akan berikan kepercayaan bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada parti untuk PRK ini,” katanya

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan borang pencalonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewab Besar Tanjung di Seksyen 19 sini, hari ini.

Mohd Zawawi turut dicabar dua lagi calon dari Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan BEBAS, Murthi Krishnasamy.

Mengulas mengenai persiapan jentera parti itu, Mohd Zawawi berkata pihaknya bersedia turun padang berkempen bermula hari ini.

Katanya, jentera parti akan mempergiatkan usaha berkempen bagi menawan hati pengundi sebagai memenuhi misi membela rakyat kawasan DUN tersebut.

“Persediaan kempen 100 peratus. Kita bergerak selepas ini untuk menemui pengundi,” katanya.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).