Categories
SELANGOR

Zawawi tekad perluas peluang pekerjaan generasi muda

OLEH: Muhammad Asri Sapfie

Klang, 29 JUL: Generasi muda terus diberikan penumpuan khusus di kawasan DUN Sungai Kandis bagi memastikan golongan itu terus berdaya maju dan mampu bersaing.

Calon Pakatan Harapan, Zawawi Mughni berkata pemberdayaan genarasi muda seterusnya mampu menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi Selangor.

“Kerjaya yang bagus dapat mengelakkan golongan muda di DUN ini daripada terjebak ke dalam aktiviti tidak sihat dan menyalahi undang-undang”, kata beliau.

Kata beliau, melalui Inisiatif Peduli Rakyat anjuran Kerajaan Negeri khususnya dalam membela nasib golongan muda, beliau yakin usaha untuk meningkatkan ekonomi diri golongan itu mampu dilakukan secara berterusan di kawasan beliau.

“Program seperti IKTISASS bertujuan mengetengahkan bidang kemahiran manakala keusahawanan pula menerusi program HIJRAH terbukti mampu memberikan impak besar kepada mereka.

“Program ini mampu melatih belia terus kekal berdaya saing sekaligus mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada individu lain apabila mereka telah berjaya,” katanya.

Zawawi cukup dikenali di kalangan anak muda sebagai seorang yang mudah didekati.

Pengalaman beliau menjadi pemimpin pertubuhan belia bermula peringkat daerah sehingga ke peringkat kebangsaan menjadikan beliau lebih memahami jiwa golongan itu.

“Saya bertekad menganjurkan seberapa banyak program sukan dan rekreasi sesuai dengan peruntukan semasa bagi memastikan mereka di DUN ini khususnya golongan belia sentiasa cergas dan cerdas,” katanya.