Categories
SELANGOR

Zawawi tolak cadangan Umno tarik pelajar jadi ahli parti

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 31 JUL: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni, tidak bersetuju dengan cadangan Umno menurunkan had umur ahlinya kepada 16 tahun kerana golongan pelajar dianggap tidak sesuai terbabit dengan lapangan politik.

Sambil menyifatkan ia tindakan terdesak Umno bagi meraih sokongan golongan muda, beliau berkata, ia memberi impak negatif kepada golongan itu yang perlu menumpukan perhatian kepada pelajaran.

“Bagi saya, cadangan itu boleh dianggap tidak relevan kerana pelajar tidak harus dibabitkan dengan politik.

“Kita tidak mahu penyertaan melalui parti politik akan mengakibatkan berlaku perpecahan, dalam kalangan mereka,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Calon PAKATAN bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis itu berkata demikian berhubung kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mengumumkan penurunan had umur ahli Umno kepada 16 tahun berbanding 18 tahun, sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, Umno dan Barisan Nasional yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 berusaha membaiki reputasinya dengan melakukan pembaharuan itu tetapi ia dilihat tidak sesuai dengan keadaan semasa.

“Ia bertujuan untuk meraih sokongqn golongan muda tetapi saya tidak bersetuju kerana pelajar 16 tahun seharusnya memberi tumpuan terhadap pelajaran bukan berpolitik,” katanya.