Categories
NASIONAL

Zeti tolak dakwaan Najib mengenai transaksi RM2.6 bilion

KUALA LUMPUR, 3 JUL: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menolak laporan yang mendakwa beliau mengetahui aliran masuk RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2013.

“Saya ingin menyatakan bahawa dakwaan ini tidak benar dan saya tidak tahu mengenai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada wawancara terbaru Najib dengan portal berita MalaysiaKini bertarikh 2 Julai 2018.

Zeti yang baru dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkata, beliau dipanggil ke pejabat Perdana Menteri pada 3 Julai 2015, di mana Najib meminta beliau mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam akaunnya.

“Saya memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana saya tidak tahu mengenai transaksi yang telah berlaku dalam akaun beliau.

“Saya kemudiannya menerima panggilan telefon daripada seorang menteri Kabinet yang lain yang membuat permintaan yang sama, agar saya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Saya memberi jawapan yang sama bahawa saya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan seperti itu kerana saya tidak tahu apa yang telah berlaku dalam akaunnya,” katanya.

Mengenai perkara berkaitan transaksi oleh pemegang akaun dalam sistem perbankan, Zeti berkata, BNM bergantung kepada maklumat yang diberikan institusi kewangan yang melapor.

“Komuniti perbankan menyedari sepenuhnya peraturan dan garis panduan yang mengawal selia laporan transaksi yang mencurigakan dan untuk usaha wajar yang diperlukan dalam operasi mana-mana akaun sedemikian.

“Melainkan jika institusi perbankan yang relevan melaporkan kepada BNM mengenai penyelewengan dalam akaun atau jika BNM mendapat tip yang memberi sebab untuk mempercayai bahawa kesalahan telah berlaku, bank pusat tidak dapat memulakan siasatan ke atas akaun itu,” katanya.

SUMBER: BERNAMA