Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar: Kepentingan institusi Islam dan Melayu terus diperkasa

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 OGOS: Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjamin kepentingan orang Melayu tidak sesekali akan diusik.

Katanya, beliau sedar, ada di kalangan rakyat terkejut dengan beberapa kenyataan ‘cuai’ dikeluarkan pimpinan PAKATAN sejak akhir-akhir ini.

“Ramai yang mempersoalkannya, namun orang ramai patut tahu, dalam PAKATAN, Islam adalah tunggak utama dan begitu juga dengan kepentingan orang Melayu Bumiputera.

“Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, ia adalah kerangka kepada negara, sudah tentu bahasa ini perlu dikuasai semua yang bergelar rakyat Malaysia, namun dalam mengiktiraf Bahasa Melayu, kita tidak akan pinggirkan bahasa lain.

“Saya sendiri juga akan mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kita perlu ingatkan sekali lagi, negara kita masih mengikut Perlembagaan Negara,” katanya.

Anwar berkata, walaupun begitu beliau melihat pentadbiran kabinet yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lari daripada landasan.

“Saya memerhati pelbagai isu sebelum ini dari jauh saja ketika berada di Turki, namun saya yakin pimpinan Tun Mahathir tidak lari dari prinsip yang dipegang PAKATAN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Perdana bersama Anwar Ibrahim ketika Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Padang Rakyat Jalan Kebun, malam tadi.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim dan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.