Categories
NASIONAL

Anwar tak dicabar, Timbalan 2 penjuru, Naib 12 penjuru

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 5 OGOS: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding bagi kerusi Presiden pada Pemilihan KEADILAN 2018.

Pengumunan itu dibuat Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Ismail Yusof sebaik tempoh menghantar borang pencalonan tamat pada jam 5.00 petang tadi.

Sementara itu, bagi kerusi Timbalan Presiden menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ditentang bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Perebutan empat kerusi Naib Presiden yang dipertandingkan pula dijangka sengit dengan menyaksikan seramai 12 calon merebut kerusi itu.

Antara calon yang mempertahankan jawatan itu adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jeyakumar; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R.Sivarasa dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Antara nama lain turut bertanding jawatan sama adalah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul.

Bagi 20 kerusi Majlis Pimpinan Pusat pula menyaksikan seramai 86 orang calon bertanding.

Antaranya, Pengarah Komunikasi KEADILAN merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Bagi sayap Ketua Wanita KEADILAN pula, Fuziah Salleh akan bertembung dengan Haniza Talha dan bagi Timbalan Ketua Wanita membabitkan Dr Daroyah Alwi dan Rodziah Ismail.

Zuraida tidak mempertahankan jawatan Ketua Wanita apabila memutuskan untuk bersaing merebut kerusi Naib Presiden.

Manakala bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula ditandingi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Mohd Najwan Halimi dan Dr Afif Bahardin.

Timbalan Ketua AMK pula ditandingi Mohd Hilman Idham dan ditentang Naquidin Nasri.