Categories
NASIONAL

Australia sedia jalin hubungan dengan kerajaan baharu

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 1 OGOS: Australia sedia menjalin kerjasama dengan kerajaan baharu Malaysia bagi mempertingkatkan hubungan dua hala kedua-dua buah negara.

Menteri Luar Australia, Julie Bishop berkata, negara itu bersedia berkongsi pengalaman, pendapat dan bertukar buah fikiran.

Katanya, sokongan juga akan diberikan kepada Malaysia berikutan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum ke-14, baru-baru ini.

“Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan baharu Malaysia. Pagi ini, saya berkesempatan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Luar.

“Banyak yang dibincangkan dalam mempertingkatkan hubungan Malaysia dan Australia.

“Saya menyatakan komitmen kepada Pakatan Harapan untuk sama-sama berkongsi idea, pendapat dan pengalaman antaranya mentadbir kerajaan memandangkan Malaysia bertukar kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada lawatannya di Monash University, Bandar Sunway, di sini bagi meraikan ulangtahun ke 20 penubuhan universiti itu di Malaysia.

Bishop mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Malaysia mulai semalam.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata Malaysia dan Australia bersetuju untuk mengadakan dialog dua hala berhubung dasar gender pada November ini.

Ia akan menjadi platform untuk bertukar-tukar pandangan dan pengalaman mengenai dasar gender dan usaha-usaha untuk memperkasa kaum wanita.

Kedua-dua negara juga berminat untuk meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang lain antaranya pembaharuan institusi, pengurusan bencana, peruntukan dan faedah persaraan serta pendekatan untuk memberi perlindungan dan kesejahteraan kepada kanak-kanak.