Categories
NASIONAL

Buku fizikal masih jadi pilihan berbanding e-book

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Kemunculan pelbagai platform pembacaan e-book melalui telefon pintar secara percuma masih belum dapat menandingi tarikan yang ada pada buku fizikal.

Penerbit Layar Minda Publication Norden Mohamed percaya trend pemilihan medium bacaan bercetak dalam kalangan masyarakat Malaysia masih tinggi walaupun terikat dengan faktor kos dan kemampuan dari aspek logistik untuk mereka mendapatkan bahan bacaan tersebut.

“Jika mereka daripada era buku bercetak, saya percaya mereka sukar untuk beralih kepada pembacaan secara dalam talian kerana ada nilai sentimental bagi setiap buku yang mereka `sentuh’. Bagi golongan muda, bagaimanapun bacaan dalam talian pastinya menjadi pilihan disebabkan ia lebih murah memandangkan kekangan dari segi kewangan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Penasihat Kumpulan Buku Alaf 21 yang juga bekas Ketua Editor Sinar Harian itu berkata faktor budaya juga memberi impak terhadap pemilihan medium bacaan dalam kalangan masyarakat.

“Ibu bapa di Barat walaupun di kelilingi pelbagai teknologi yang lebih maju, masih memilih bahan bacaan bercetak untuk anak mereka dan ini dapat dilihat melalui bahan bacaan yang digunakan ketika mahu menidurkan anak-anak mereka.

“‘Bed time story’ yang dipilih adalah bahan bercetak kerana mereka percaya interaksi berbentuk fizikal mampu merangsang perkembangan otak dan motor kanak-kanak berbanding penggunaan gajet. Berbeza di Asia, ibu bapa kini lebih cenderung menggunakan gajet sebagai bahan interaksi pembelajaran termasuk pembacaan,” katanya.

Sementara itu, novelis Suci Hidayat berpendapat pembaca masih memilih naskah secara bercetak berbanding bahan bacaan dalam talian, biarpun wujud pelbagai teknologi dan aplikasi untuk bahan bacaan termasuk novel.

“Kalau tengok dari segi angka pun, dalam 7,000 naskah novel saya yang terjual, mungkin ada dua pembaca sahaja yang akan meminta dalam bentuk softcopy. Itupun kalau mereka menetap di luar negara kerana jika dipos, ia akan mengambil masa dan kos yang besar,” katanya.

Walaupun penulisannya terkenal melalui alam maya, beliau hanya menggunakan medium alam maya bagi mempromosi dan jualan naskah nukilannya memandangkan cara itu mampu menarik lebih ramai pembaca untuk memiliki novelnya.

Seorang jurutera di sebuah syarikat swasta Benjamin Arshad, berkata bahan bacaan bercetak lebih mendatangkan kepuasan kepadanya terutama apabila melihat buku-buku yang dimiliki disusun rapi di atas rak.

“Saya suka bau buku dan memegang buku secara fizikal sambil menyelak helaian buku seolah memberi terapi kepada saya. Lagipun buku (novel) tidaklah berat mana pun dan masih boleh dibawa ke mana-mana secara praktikal. Bagi harga pula, saya masih boleh dapat dengan harga diskaun di pesta buku atau mana-mana kedai yang mengadakan promosi,” katanya.

Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Datuk Nafisah Ahmad pula berkata peralihan kepada pembacaan secara dalam talian semakin ketara meningkat disebabkan perubahan gaya hidup digital dan peningkatan kadar tembus jalur lebar.

“Ia sesuatu yang tidak boleh dielak dan di PNM sendiri, terdapat peningkatan terhadap trend pinjaman melalui sistem dalam talian atau u-Pustaka.

Katanya pembacaan melalui u-Pustaka juga semakin menjadi pilihan dengan penggunaan dalam talian sebanyak 3,176,538 pada 2016 berbanding 4,093,510 pada 2017, dipercayai dipengaruhi oleh kadar penembusan jalur lebar di Malaysia.

SUMBER: BERNAMA