Categories
SELANGOR

Contohi dasar pelaburan Selangor, kurang bergantung pekerja asing

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kerajaan Persekutuan disaran mencontohi dasar Kerajaan Selangor dengan menggalakkan pelaburan asing langsung (FDI) berteknologi tinggi yang berpaksikan teknikal sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Dekan Pusat Pembangunan Asasi Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Madya Dr Hamdan Dato’ Salleh berkata, negara berhadapan masalah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing sekiranya masih fokus dengan industri 2.0 dan 3.0.

“Usaha yang perlu antaranya dengan mempercepatkan usaha menggalak industri berpaksi automasi sepenuhnya di mana mampu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja skil rendah terutama dalam bidang pertanian.

“Dasar bersepadu dan merentas pelbagai agensi perlu dimulakan sekarang andai ingin melihat hasrat ini tercapai di mana ini memerlukan iltizam politik dan tekad ekonomi bagi melaksanakan dasar berpaksikan memberi pekerjaan kepada pekerja tempatan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Hamdan berkata, sektor perladangan yang ada ketika ini banyak menggunakan tenaga buruh dan masih tidak berorientasikan teknologi automatik.

Katanya, usaha menarik FDI berasaskan teknikal itu membantu kerajaan melaksanakan dasar gaji minima yang cuba dilaksanakan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Katanya lagi, isu ini perlu diberi perhatian segera sekiranya hasrat PAKATAN mahu mengurangkan pekerja asing daripada enam juta kepada 2.5 juta orang dicapai dalam tempoh lima tahun ini.

“Setakat ini belum ada langkah konkrit dan bersolusi berkaitan isu kebergantungan kepada pekerja asing yang jumlahnya sudah mencecah enam juta orang.

“Selain berkaitan dasar untuk pengendali makanan yang kemudiannya ditangguhkan serta penubuhan jawatankuasa khusus, belum ada dasar konkrit sejak kerajaan baru mengambil alih teraju pemerintahan negara.

“Usaha sedia ada terutama pelan pada 2010 dan kemudian 2014 boleh ditambahbaik terutama dalam melibatkan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha mengurangkan pekerja asing terutama Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI),” katanya.